MENGAPA MEREKA DI HINA DENGAN PELBAGAI GELARAN HANYA KERANA DIRAIKAN PERDANA MENTERI

Mereka juga insan biasa yang telah menjalankan amanah yang dipertanggungjawapkan oleh kerajaan bagi menjaga negara dan rakyat Malaysia. Selama berkhidmat bukan sedikit pengorbanan mereka kepada seluruh rakyat Malaysia tetapi mengapa pesara PDRM di hina dengan pelbagai gelaran serta kutukan hanya kerana diraikan kerajaan?

Fahamilah mereka juga insan yang ada perasaan dan hati. Adakah kita di ajar untuk menjadi ‘Kurang Ajar’ apabila orang menyambut serta meraikan kita dalam majlis? Tidakkah ada rasa hati pihak tertentu itu yang memberikan gelaran buruk dan mencampakkan caci maki kepada pesara PDRM ini?

Ikuti luahan mereka dalam surat terbuka Pesara Polis kepada netizen dan Rakyat Malaysia.
……………………………………………………………………

SURAT TERBUKA PESARA PDRM TERHADAP KRITIKAN NETIZEN DAN RAKYAT

Pada pagi tanggal 15 JAN 2018, kami pesara-pesara Polis hadir dengan penuh bersemangat di PWTC Kuala Lumpur, kerana dapat berkumpul beramai-ramai bersama rakan-rakan seperjuangan yang telah lama meninggalkan Pasukan Polis Diraja Malaysia. Rasa disanjungi kerana rakan-rakan yang masih berkhidmat turut serta dalam perjumpaan untuk meraikan kami. Malah amat bermakna kerana pemimpin-pemimpin negara sudi menyambut undangan untuk bersama-sama kami dalam majlis tersebut. Sebak di dada memuncak apabila ada di antara pesara yang datang bertongkat dibantu ahli keluarga dan ada pula yang duduk di kerusi roda, disorong anak.Tidak mungkin dapat kami lupakan saat-saat sayu kami sama-sama menitis airmata apabila bercerita tentang kawan-kawan yang telah lama meninggalkan kami, lebih-lebih lagi mereka yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Namun kenangan manis tersebut tercemar apabila ada pihak-pihak tertentu yang cuba mencalar maruah kami dengan menuduh bahawa kehadiran kami “dibayar” untuk memenuhi dewan, dan pemberian yang diterima ibarat “dedak” untuk tujuan politik.

Kami rasa terhina kerana cemuhan-cemuhan yang dilontarkan menunjukkan seolah-olah kami ini boneka yang tidak punyai akal fikiran dan maruah diri. Bukankah kami ini kakitangan Kerajaan yang selama ini menerima gaji untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat? Bukankah kami ini masih bergelar pesara Kerajaan? Adakah kami menanggung dosa kerana berkhidmat dengan kerajaan?

Kami tidak dipaksa untuk hadir.Tidak diugut dan tidak dijanjikan apa-apa untuk hadir.Malah ramai yang terkilan kerana tidak dapat hadir sama disebabkan ruang tempat di Aras 4 PWTC adalah terhad untuk jumlah tertentu sahaja. Jangan sesekali pertikai sumbangan yang kami terima kerana pengorbanan kami selama ini tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Bagi kami, ia adalah sumbangan ikhlas bagi memenuhi janji Kerajaan untuk terus menjaga kebajikan kami sebagai pesara Kerajaan.

Ceteknya pemikiran mereka yang melihat sumbangan tersebut sebagai dedak politik. Adakah di mata mereka, itu nilai diri dan harga pengorbanan kami?

Jangan sesekali mengheret kami dalam kancah politik kerana perjuangan kami adalah untuk menjaga keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat. Jangan dipolitikkan kehadiran kami untuk tujuan yang tersirat, kerana itu adalah serendah-rendah usaha untuk mengaburi mata masyarakat.

Cubalah berfikiran waras. Adakah di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor terdapat pasukan polis yang berbeza dari PDRM?

TEPUK DADA DAN TANYA SELERA

JANGAN IKUT SEDAP MULUT BILA BERBICARA

Sekali lagi kami berharap agar tidak wujud mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan kehadiran kami di majlis tersebut. Hentikan segala cacian terhadap kami yang tidak-putus dilontarkan, baik ketika kami masih bertugas, mahupun setelah kami bergelar pesara.

Kami kekal bernaung teguh di bawah panji-panji Sang Saka Biru yang terus berkibar di persada persatuan-persatuan bekas-bekas dan pesara-pesara Polis.

KAMI PESARA POLIS

KEKAL TAAT DAN SETIA KEPADA RAJA DAN NEGARA

16 JAN 2018




Source

One thought on “MENGAPA MEREKA DI HINA DENGAN PELBAGAI GELARAN HANYA KERANA DIRAIKAN PERDANA MEN…”

Leave a Reply