BADAN bola sepak Perancis memberitahu AFP yang mereka akan menyiasat aduan penyerang Nice, Mario Balotelli yang mendakwa mendengar ejekan ‘monyet’ ditujukan kepadanya ketika kekalahan di Dijon pada Sabtu lalu. 

Liga Perancis (LFP) memberitahu AFP “kes berkenaan akan diteliti Khamis ini oleh jawatankuasa disiplin” tetapi menambah yang mereka belum mempunyai sebarang bukti setakat ini.

Balotelli dilayangkan kad kuning kerana menunjukkan kemarahannya kepada penyokong ketika perlawanan itu.

Dia kemudian memberitahu pengadil yang dia menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman.

Nice memuat naik mesej di Twitter ketika perlawanan mengatakan Balotelli ‘dilayangkan kad kuning selepas berang dengan sikap perkauman ditunjukkan penyokong”.

Organisasi British Kick It Out, yang berkempen menentang diskriminasi, mengeluarkan kenyataan “ia mengejutkan melihat Mario Balotelli dilayangkan kad kerana memberitahu pengadil berkenaan cacian berbentuk perkauman yang ditujukan kepadanya oleh penyokong Dijon”.

Menurut Kick It Out, mereka mengharapkan tindakan tegas daripada badan bola sepak Perancis.

Ini bukan kali pertama Balotelli, yang ibu bapanya berasal dari Ghana, menjadi mangsa ejekan berbentuk perkauman.

Musim lalu Bastia dikenakan denda pemotongan satu mata dan pengosongan sebahagian tempat duduk untuk tiga perlawanan oleh Liga Perancis kerana perlakuan penyokongnya.

Kelab itu membatalkan tiket semusim salah seorang penyokongnya manakala mahkamah di Bastia mengenakan hukuman penjara dua bulan selain denda 1,000 euro (RM4.84 juta) dan larangan memasuki stadium selama 18 bulan kepada penyokong berkenaan.

Balotelli turut menjadi mangsa ketika dia bermain untuk Inter Milan dan AC Milan di tanah airnya.

Ketika Euro 2012, UEFA menghukum persekutuan bola sepak Croatia dan menyiasat Sepanyol berikutan ejekan perkauman yang ditujukan penyokong kepada Balotelli.

Pada tahun 2014, polis British menyiasat ejekan di Twitter terhadap Balotelli, yang pernah bermain untuk Manchester City dan Liverpool.



Source link

Leave a Reply