SKRIP dah dapat, kostum pun sudah lekat di badan, malangnya filem dibatalkan beberapa minggu sebelum penggambaran bermula.

Itulah nasib Nicolas Cage yang tidak sempat menjadi Superman meskipun segala persiapan untuk menjayakan watak ‘Man of Steel’ itu telah dibuat.

Cage menerima watak adiwira kesukaan ramai itu pada 1997. Ketika itu namanya memuncak menerusi filem-filem aksi ‘Con Air’ dan ‘The Rock’.

‘Superman Lives’ sepatutnya diarahkan oleh pengarah kreatif Tim Burton yang sebelum itu pernah menghidupkan watak Batman ke layar perak menerusi fiem ‘Batman’ (1989) lakonan Michael Keaton.

Menerusi filem ini, watak Superman digambarkan berambut panjang dan bertubuh kurus.

Video Cage ketika mencuba kostum adiwira itu dimuatnaik di YouTube menerusi akaun Flashback FilmMaking pada Oktober tahun lalu. Klip itu berdurasi hampir lima minit.

 

Filem ‘Superman Lives’ ini diinspirasikan sebagai kesinambungan daripada komik The Death of Superman pada 1992 yang menyaksikan watak adiwira itu dimatikan. Komik itu mencatat rekod tersendiri apabila enam juta salinan terjual.

Namun, nasib filem Superman Lives tidak seperti komik berkenaan. Warner Bros selaku penerbit membuat keputusan mengejut apabila membatalkan projek itu. Bajetnya digunakan untuk menerbitkan filem ‘Wild Wild West’ lakonan Will Smith.

Hasrat Cage untuk menjadi pengganti Christiopher Reeves sebagai Superman dan Clark Kent berkecai.

Mungkin sebagai memperingati impian yang tidak kesampaian, pada 2005 Cage menamakan anaknya yang baru lahir sebagai Kal-El iaitu nama asal Superman di planet Krypton.



Source link

Leave a Reply