Banjir yang berlaku baru-baru ini menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Muput yang terletak di tebing Sungai Anap di sini mengalami kerosakan teruk akibat fenomena alam itu.

Guru Besar SK Kuala Muput Tony Madup, 55, berkata, sekolah tersebut merupakan satu antara dua sekolah paling teruk terjejas akibat banjir di Daerah Tatau kali ini. 

“Untuk rekod ini adalah banjir kelima dialami sekolah sejak Disember. Kali pertama dan kedua berlaku sebelum dan selepas sambutan Hari Krismas, banjir ketiga pada 6-9 Jan, kejadian keempat pula pada 16-19 Januari dan yang terbaharu ini paling buruk dalam sejarah sekolah.

“Banjir yang berlaku telah merosakkan 99 peratus infrastruktur, prasarana sekolah dan tidak dapat diguna lagi. Kami semua sangat sedih kerana sekolah ini yang juga institusi penting kepada 112 murid daripada 23 rumah panjang di kawasan sekitar, kini tidak dapat digunakan lagi berikutan risiko kerosakan struktur bangunan,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

Tinjauan mendapati air sudah mulai surut, namun kesan kemusnahan akibat banjir hampir tujuh hari itu seperti kerosakan bilik darjah, asrama murid, bilik guru, buku teks, bilik generator, alat bantu mengajar dapat dilihat, malahan enam kenderaan kakitangan sekolah masih ditenggelami air. 

Mengimbas kembali kejadian itu, Tony yang juga Yang Dipertua Majlis Guru Besar Tatau berkata, keputusan tepat diambil guru dan kakitangan sokongan dengan berwaspada selepas dimaklumkan pengawal keselamatan sekolah paras air Sungai Anap mulai meningkat pada Isnin (5 Feb) berjaya mengelak bencana lebih besar termasuk kehilangan nyawa.

“Air sungai mulai naik pada petang Isnin (5 Februari) air naik begitu cepat dan berlarutan hingga ke awal pagi (6 Februari) kami tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda atau aset sekolah kecuali barangan peribadi seperti alatan elektrik.

“Ketika awal kejadian warga sekolah mula dipindahkan dari kuarters kakitangan ke bangunan paling tinggi di sekolah, namun apabila keadaan semakin buruk kami terpaksa bergegas menyelamatkan diri ke dua rumah panjang berdekatan,” katanya.

 Beliau berkata, kejadian itu merupakan terburuk pernah dicatatkan dalam sejarah sekolah yang dibina sejak 1963, malah tidak menolak kemungkinan ada antara 16 guru dan lapan kakitangan sokongan trauma akibat kejadian tersebut.



Source link

Leave a Reply