GEMAS: Bukan rambut remaja Nur Afini Roslan yang tersangkut pada mesin pemotong rumput seperti yang tersebar di laman media sosial.

Ini pengesahan yang diberi Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamzah Ab Razak yang menyatakan bahawa objek tersebut sebenarnya ialah tali.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa mengalami kecederaan parah akibat terkena bilah pisau yang terpelanting ke arahnya dan bukan terperangkap pada bahagian bawah mesin dan ditarik seperti yang didakwa di laman sosial,” kata Hamzah.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana kejadian ini tiada sebarang unsur jenayah dan merupakan satu kemalangan.

“Bagi pemandu traktor berusia 26 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dijangka akan dibebaskan dengan jaminan,” kata Hamzah.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi Selasa, arwah Nur Afini meninggal dunia di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman selepas bilah mesin yang melayang itu terkena kepalanya.

Remaja itu dikatakan sedang menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah di padang sekolah tersebut.

Insiden itu turut mencederakan dua rakannya, Abdullah Hazlan, 14 tahun, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13 tahun.

Susulan insiden tersebut, pihak sekolah telah membatalkan penganjuran hari sukan yang dijadualkan berlangsung pada hari ini.



Source link

Leave a Reply