PUTRAJAYA: Doktor perubatan yang sanggup bertugas di Sabah dan Sarawak akan diberi keutamaan untuk menerima insentif disediakan kerajaan, ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Jelasnya, insentif berkenaan termasuk keutamaan untuk mereka melanjutkan latihan kepakaran dalam bidang perubatan.

“Peluang-peluang untuk mendapat tempat dalam latihan kepakaran, keutamaan itu akan diberi kepada mereka yang telah bertugas di Sabah dan Sarawak. Ini adalah salah satu insentif yang kita beri kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan inisiatif [email protected] di sini, hari ini.

Jelasnya, langkah dilakukan kerajaan itu penting memandangkan dua negeri berkenaan turut memerlukan kepakaran doktor pakar yang kebanyakannya berasal dari Semenanjung.

“Jadi ada pihak dipindahkan untuk bertugas di Sabah serta Sarawak dan menolak lantikan itu atau membuat rayuan dengan pelbagai alasan, mereka akan hilang peluang untuk diberikan keutamaan mengikuti latihan kepakaran kerana kita memerlukan doktor di dua negeri itu,” tambahnya. 

Justeru, beliau menggesa mana-mana doktor perubatan yang terlibat menerima lantikan dan pemindahan berkenaan bagi menampung keperluan tenaga pakar di negara ini.

“Doktor pakar yang bekerja di dua negeri itu, kita akan bantu mereka dalam suatu perkara. Inilah langkah kerajaan untuk meningkatkan jumlah doktor pakar dalam negara kita,” katanya lagi.

Ketika ini beliau menambah, Malaysia mempunyai 9,632 doktor pakar dalam pelbagai bidang.

Daripada jumlah itu, 4,829 doktor bertugas di bawah Kementerian Kesihatan dan selebihnya bekerja di sektor swasta, universiti atau angkatan tentera.

“Menjelang tahun 2020, Malaysia memerlukan tambahan 5,000 doktor pakar. Mungkin kita tidak akan sampai ke tahap itu tetapi beberapa langkah telah diambil untuk meningkatkan jumlah berkenaan,” ujarnya.



Source link

Leave a Reply