Dengar cerita antara tiga kawasan Parlimen dimana Tun Dr Mahathir akan buat pilihan bertanding pada pilihanraya umum ke 14…nampaknya setakat ini Kubang Pasu yang paling ‘sepi’.

 

Ramai yang cenderong letak taruhan mereka pada Langkawi.Putrajaya jatuh yang kedua.

 

Ketiga-tiga kawasan ini ada sentuhan bekas Perdana Menteri itu yang kini mengetuai pakatan pembangkang.

 

Siapa pun tidak boleh nafikan fakta beliau bangunkan Langkawi dan Putrajaya.

 

Namun dari segi politik Kubang Pasu mempunyai nilai yang tersendiri.

 

Ini kerana Kubang Pasu bukan saja pernah menjadi lubuk dimana beliau menjadi Ahli Parlimen dari tahun 1974 sampai 1999 tetapi maruahnya pernah tercemar di situ.

 

Mungkin ramai yang sudah lupa pada 9 September 2006 sejarah tercipta bila beliau tewas dalam pemilihan kecil yakni cuma untuk jadi perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO.

 

Ini berlaku ketika Dr Mahathir bertegang urat dengan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi.

 

Hajat beliau ialah hendak bertentang matadi Dewan Merdeka,PWTC sebagai perwakilan dengan Abdullah di perhimpunan besar parti itu.

 

Siapa sangka bekas Perdana Menteri selama 22 tahun dan orang yang sinonim dengan kawasan itu boleh rebah pada ‘budak-budak kampong’.

 

Fikir punya fikir memang pelik.Apa lagi tiga orang bekas orang kanan beliau yakni bekas Menteri Besar Tan Sri Osman Aroff,Ketua Bahagian dan bekas Setiausaha Politiknya,Datuk Johari Baharom dan seorang lagi bekas Setiausaha Politik (Allahyarham) Datuk Saad Man tidak berdiri sebelahnya dalam pemilihan  itu.

 

Dr Mahathir gagal menjadi salah seorang dari tujuh perwakilan bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO 2006 bila hanya mendapat hanya mendapat 227 undi untuk menduduki tempat kesembilan.

Seramai 15 orang bertanding untuk jadi perwakilan.

 

Anaknya Datuk Mukhriz Mahathir yang ketika itu bergiat dalam UMNO Kubang Pasu terpilih jadi perwakilan apabila mendapat 298 undi kelima tertinggi.

 

Seramai 476 perwakilan membuang undi pada mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu yang berlangsung di Dewan Wawasan,Jitra.

 

Seperti biasalah habis saja mesyuarat timbullah dakwaan konon berlaku politik wang dan perwakilan cawangan menghadapi tekanan segala macam.

 

Johari selaku Ketua UMNO Bahagian menafikan dakwaan Dr Mahathir berlaku politik wang dalam pemilihan perwakilan bahagian itu menyebabkan beliau tewas.

 

Risik punya risik rupanya ada banyak cerita yang menjadi faktor kedudukan Dr Mahathir begitu rapuh di Kubang Pasu sekalipun lama menjadi lubuk politiknya.

 

Ikut ceritanya Dr Mahathir sendiri tidak ada grip dan kenal bahagiannya sendiri.

 

Selama itu orang yang menjadi operator beliau di kawasan itu ialah Johari.Beliaulah orang yang terlari ke sana kemari mengurus kebanyakan hal di kawasan Kubang Pasu dari politik hingga keperluan penduduk tempatan.

 

Senang cakap A sampai Z semua di celah tapak tangannya.Selain ligat kerja beliau mempunyai perwatakan yang disenangi orang kampong.

 

Johari mempunyai sebab tersendiri merasa tidak puashati terhadap Dr Mahathir.Begitu juga Osman Aroff dan Saad Man yang merupakan otai di kawasan itu.

 

Sebenarnya Dr Mahathir tidak boleh salahkan sesiapa atas kekalahan yang sangat memalukan bagi karier politiknya itu.

 

Politik tetap politik.Risikonya kena tanggung sendiri apabila tidak ‘on the ground ‘ dengan orang kawasan sendiri.

 

Walaupun berstatus ‘anak murid’ kepada Dr Mahathir namun Johari yang kini Timbalan Menteri Pertahanan sudah bertapak kuat di Kubang Pasu.

 

Pada PRU13 Kubang Pasu lulus penuh.Selain kawasan Parlimen, dua kawasan Dewan Undangan negeri – Bukit Kayu Hitam dan Jitra juga dimenang BN.

 

Dari jumlah pengundi seramai 65,550,Johari mendapat 33,334 undi menewaskan calon PAS Mohd Jamal Nasir 22.890.Majori beliau ialah 10,444.

 

Ini peningkatan besar majoriti beliau dari PRU12.

 

Pada PRU12, Johari  menang dengan majoriti 7,060 apabila mendapat 24,179 undi menewaskan calon PAS, Datuk Dr Abd Isa Ismail dengan 17,119 undi.

 

Sewaktu mula ambilalih tempat Dr Mahathir yang bersara pada PRU11 Johari memang dapat 26,657 menewaskan calon PAS Isa Ismail 12.945 undi.Majoriti beliau 13,712.

 

Kali terakhir Dr Mahathir bertanding di Kubang Pasu pada 1999 beliau menang dapat 22,399 menewaskan calon PAS Subky Lafif 12,261.Majoriti ialah 10,138.

 

Kata orang PRU14 adalah masa yang terbaik untuk tebus maruah yang tercemar pada September 2006 itu.

 

Soalnya sekarang apakah Dr Mahathir yang sudah dinobatkan pakatan pembangkang sebagai calon Perdana Menteri sementara mereka berani perjudikan nasib di Kubang Pasu.

 

Berbanding Langkawi dan Putrajaya…Kubang Pasu tentunya menjadi medan perang yang lebih mencuri perhatian.

 

Ini kerana ada perhitungan antara guru dan anak murid yang belum beres di situ.- 14/2/2018

 

 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.



Source link

Leave a Reply